SEUNTAI KATA PEMBUKA BICARA...

Top 50 hình ảnh động chúc mừng năm mới - Happy New Year 2020 | Happy new  year gif, Happy new year images, New year gif

Selamat Datang, Salam Sejahtera, Selamat Tahun Baru 2018!!! Anda sangat dialu-alukan dalam blog ini. Semoga segala informasi yang dipaparkan dapat membantu kalian.

Saya percaya masih ada yang empunya rencana dan cita-cita yang masih belum terlaksana di tahun yang lalu dan meletakkan visi baru di Tahun Baru ini dengan tekad dan azam yang lebih baik. Kita semua pastinya rasa sangat bersyukur kerana masih diberi kesempatan dan nafas baru di tahun baru ini terus memperbaiki diri meniti puncak kejayaan yang diidamkan sesuai dengan rencana-Nya.

Menyedari akan hakikat itu, teruskan usaha murni kita masing-masing untuk mentransformasikan diri melalui pendidikan kerana hanya melaluinya perubahan dalam segenap aspek akan dicapai!

Ingatlah bahawa KEJAYAAN banyak terletak pada usaha DIRI SENDIRI dan semangat yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Pepatah mengatakan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya kerana yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang!

Semoga kita semua beroleh kebahagiaan dan kejayaan yang paling cemerlang sebagaimana yang dihajati dengan izin, bimbingan dan petunjuk daripada TUHAN. Oleh itu, janganlah lupa untuk sentiasa berdoa dan mengucap Syukur ke atas segala yang telah kita nikmati selama ini.

SELAMAT MAJU JAYA & TERUSKAN USAHA YANG DISERTAI DENGAN KESUNGGUHAN TINGGI KE ARAH KECEMERLANGAN DIRI, KELUARGA, BANGSA DAN NEGARA YANG TERCINTA!!!

Thursday, 5 January 2012

Transformasi Desa dan Pembandaran (Kuliah 1)

Pengenalan
Tema ini terdiri daripada dua fokus utama iaitu:
1. Transformasi desa, dan
2. Pembandaran/ urbanisasi.



"Menjelang tahun 1970 sebahagian besar daripada penduduk desa masih dibelenggu kemiskinan. Sebagai contoh insiden kemiskinan di kalangan penduduk desa pada waktu itu ialah 58.7 peratus, dan sembilan daripada 10 penduduk miskin tinggal di kawasan desa.
 

Namun kini keadaan itu telah jauh berbeza. Kadar kemiskinan sudah menjadi 11.4 peratus dan lebih membanggakan kadar kemiskinan tegar di luar bandar telah berkurangan kepada 2.3 peratus pada tahun 2002."

Senario di atas adalah sedikit gambaran keadaan sosioekonomi negara kita sehingga kini. Untuk penjelasan yang mendalam, perbincangan ini boleh dilanjutkan kepada perkara-perkara berikut iaitu:

(a) Memahami konsep transformasi desa,
(b) Mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi transformasi desa, dan
(c) Memahami proses bagaimana transformasi desa berlaku.


Apa itu transformasi desa?

Transformasi desa merujuk kepada perubahan sosioekonomi desa melalui proses pemodenan dan pembandaran.


Perubahan-perubahan sosioekonomi desa tersebut berlaku dari segi:
(a) Guna tanah
(b) Kemudahan asas
(c) Pengangkutan
(d) Komunikasi
(e) Pekerjaan penduduk
(f) Pendidikan
(g) Taraf kesihatan
(h) Sikap dan pemikiran, dan sebagainya.
Contoh-contoh perubahan sosioekonomi Malaysia sebagai bukti berlakunya transformasi desa.
(a) kadar literasi penduduk dewasa meningkat daripada 57 peratus pada tahun 1970 kepada 83.5 peratus pada tahun 1995.
(b) Isi rumah miskin semakin berkurangan iaitu daripada 37.7 peratus (1976) kepada 7.5 peratus (1999).
(c) Jangkaan hayat penduduk semakin bertambah panjang iaitu daripada 64 tahun pada tahun 1970 kepada 72.2 tahun pada tahun 2005.

(d) Pendapatan bulanan purata penduduk luar bandar telah bertambah tiga kali ganda iaitu RM 550 pada tahun 1979 kepada RM 1729 pada tahun 2002.
(e) Kadar kematian bayi (bagi 1 000 kelahiran hidup) telah berkurangan iaitu 40.8 pada tahun 1970 kepada 8.1 pada tahun 1998.
(f) Sehingga tahun 2000, 87 peratus isirumah luar bandar mempunyai kemudahan air paip dan 93 peratus telah mendapat kemudahan elektrik. 

Transformasi desa berlaku dengan begitu pesat dipengaruhi oleh dasar dan strategi pembangunan desa yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka terutama selepas tahun 1970.


Bagaimana perubahan (transformasi) desa berlaku?
Memang tidak dapat dinafikan arus pemodenan dan pembangunan yang giat berlangsung di negara kita pada masa kini turut memberi impak kepada petempatan desa dengan mengubah wajah kawasan desa dari pelbagai aspek, khususnya pembangunan dalam aspek sosioekonomi. Data-data atau contoh-contoh yang telah dinyatakan sebelum ini membuktikan hal ini.

Malah, dasar dan strategi pembangunan desa juga turut diakui menjadi faktor utama perubahan itu.
 
Umumnya, terdapat empat cara yang boleh menerangkan bagaimana sosioekonomi desa mengalami perubahan (transformasi), iaitu:

(a) Saling Kebergantungan Desa-Bandar

i. Saling kebergantungan Desa-Bandar bermaksud saling hubungan di antara petempatan desa dengan bandar. Hubungan ini ditunjukkan melalui interaksi penduduk.
ii. Interaksi berlaku dalam bentuk kunjungan penduduk desa ke bandar.
iii. Bandar berfungsi menyediakan peluang pekerjaan, punca maklumat dan inovasi, barangan dan kemudahan perkhidmatan.
iv. Oleh itu penduduk desa ke bandar untuk bekerja, mengguna barangan dan perkhidmatan, memasarkan produk desa.
v. Untuk menjadikan interaksi ini berkesan maka rangkaian perhubungan melalui jalan pengangkutan, media massa dan rangkaian komunikasi lain mesti diwujudkan dan di pertingkatkan mutunya.
vi. Rangkaian perhubungan ini akan menghasilkan pola aliran seperti perjalanan penduduk, perpindahan penduduk, pengangkutan barangan, penyebaran maklumat dan sebagainya dari desa ke bandar atau sebaliknya.
vii. Interaksi desa-bandar ini menyebabkan proses bauran inovasi berlaku secara berlanjutan dan akhirnya penduduk desa akan mengalami perubahan.
viii. Perubahan yang berlaku meliputi aspek pekerjaan, cara hidup, sikap, pendidikan, keadaan kesihatan dan persekitaran termpat kediaman.

(b) Pembandaran Desa
i. Proses in berlaku melalui pembangunan bandar baru dan juga rebakan bandar terdekat.
ii. Penubuhan bandar baru di kawasan luar bandar bertujuan supaya taraf hidup penduduk dapat dipertingkatkan dan dimodenkan.
iii. Pembangunan bandar baru telah mengubah fungsi petempatan desa iaitu sebagai pusat pemasaran hasil keluaran desa, pusat penjanaan peluang pekerjaan dan pusat perkhidmatan bagi penduduk desa dan sekitarnya.
iv. Rebakan bandar pula berlaku akibat kesukaran bandar menampung pembangunan yang pesat. Penumpuan penduduk dan kegiatan sosioekonomi di bandar menyebabkan bandar menjadi sesak.
v. Kesesakan ini memaksa pembangunan dialihkan keluar ke kawasan desa berdekatan. Proses peralihan keluar pembangunan ini dinamakan rebakan bandar.
vi. Proses rebakan bandar ini akhirnya menyebabkan kawasan desa sekitarnya berubah menjadi sebuah petempatan yang moden.

(c) Perancangan desa (Pusat pertumbuhan)
i. Selain penubuhan bandar baru, pusat pertumbuhan desa dan bandar kecil turut dibina di desa.
ii. Pusat pertumbuhan desa ini menawarkan fungsi perkhidmatan sosial dan pada masa yang sama menjadi nadi dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan sekitarnya.
iii. Pusat pertumbuhan desa ini dapat membantu memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan asas, membaurkan idea, teknik, maklumat, peralatan dan pengetahuan kepada penduduk desa yang akhirnya mempercepatkan proses pemodenan dan pembandaran desa.

(d) Pemodenan ekonomi desa
i. Perubahan desa juga berlaku melalui pemodenan sosioekonomi desa.
ii. Pemodenan sosioekonomi desa dilakukan melalui program pembangunan sosial, penyelerakkan perindustrian ke desa dan program-program berbentuk bantuan.
iii. Program pembangunan sosial dilaksanakan dengan membina kemudahan pendidikan menengah dan Institusi Pengajian Tinggi di luar bandar, naik taraf kemudahan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, kemudahan rekreasi, kemudahan komunikasi dan perkhidmatan lain mengikut keperluan penduduk setempat.
iv. Perindustrian desa menyebabkan lebihan tenaga kerja di desa dapat diserap ke dalam sektor baru dan membantu masyarakat petani desa menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang berlaku.
v. Program bantuan modal dan subsidi, pemasaran, latihan dan memperluaskan penggunaan teknologi moden kerpada petani, pekebun, penternak, nelayan dan usahawan desa untuk memajukan aktiviti ekonomi mereka seterusnya merubah sosioekonomi penduduk.
  
Proses perubahan desa berlaku dengan pelbagai cara. Meskipun setiap satu diterangkan berasingan, namun kesemua proses tersebut berlaku serentak dan saling berkaitan dan perubahan berlaku secara berterusan sehingga pada akhir proses tersebut semua kawasan desa berubah menjadi bandar yang moden.































 






Format Peperiksaan Geografi (942) STPM

Kandungan
Mengandungi dua bahagian iaitu alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia.

Format/Bentuk Peperiksaan

Terdiri daripada dua kertas:
Kertas 1 (942/1):  Alam Sekitar Fizikal  (3 jam)
Kertas ini mengandungi 8 soalan. Bentuk soalan: Esei.
Calon hanya perlu menjawab 4 soalan sahaja.
Markah bagi setiap soalan ialah 25 markah.
Markah keseluruhan kertas ini ialah 100%.
Wajaran kertas ini ialah 50%.

Kertas 2 (942/2):  Alam Sekitar Manusia ( 3 jam )
Kertas ini juga mengandungi 8 soalan. Bentuk soalan: Esei.
Calon hanya perlu menjawab 4 soalan sahaja.
Markah bagi setiap soalan ialah 25 markah.
Markah keseluruhan kertas ini ialah 100%.
Wajaran kertas ini ialah 50%.

Kajian luar
Kumpulan tajuk untuk kajian luar adalah seperti berikut.
  1. Bahagian alam sekitar fizikal - gerakan jisim, cerun (kawasan beralun/pantai), sistem sungai, parameter cuaca (di kawasan luar bandar/bandar), kemarau. banjir, kegunaan air, ekologi di kawasan kecil seperti kolam,paya, dan ekologi hutan seperti di tanah tinggi/ tanah pamah.
    Pendekatan kajian luar bagi bahagian alam sekitar fizikal tertumpu kepada pengaruh sesuatu fenomena fizikal terhadap aktiviti manusia.
     
  2. Bahagian alam sekitar manusia. - perumahan, pengangkutan, pertanian, perlombongan, perikanan, pembalakan, perkilangan, dan pelancongan.
    Pendekatan kajian luar bagi bahagian alam sekitar manusia adalah tentang dampak alam sekitar sebagai hasil pembangunan aktiviti manusia.